Agenda Masa kita



Perpecahan Ummat

Dalam menghadapi masalah perpaduan dan kesatuan suara ummat islam. Allah berfirman dalam surah An-Nisa ayat ke 59,

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

Keta'atan kepada pemimpin itu merupakan satu kewajipan yang besar selagi tidak membawa kepada kemungkaran. Keta'atan kepada Allah dan Rasul itu mutlak, tetapi keta'atan kepada pemimpin itu mesti bersyarat. Selagi pemimpin itu tidak bercanggah dengan syarak, maka ta'at lah dia. Apabila bertentangan, maka berpalinglah daripada dia.

لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ
Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)

Cara berfikir merupakan satu anugerah Allah yang sangat istimewa. Al Quran sentiasa mengulang 'apakah tidak kamu memikirkan' sebagai satu mesej kepada kita untuk terus berfikir. Keupayaan untuk berfikir di dalam atau di luar kotak merupakan keupayaan yang berbeza bagi setiap manusia. Tidak hairanlah kita melihat manusia akan mempunyai seribu pendapat jika ditanyakan kepada seribu orang bagaimana untuk manusia manusia terbang ke langit. Daripada seribu pendapat itu, barangkali boleh betul kesemuanya, bahkan boleh salah kesemuanya.

Agama meraikan perbezaan, tetapi tidak menghalalkan perpecahan ummat. Dunia hari ini menyaksikan ummat Islam itu berpecah belah dalam keadaan yang ketara dari sudut politik mahupun pegangan manhaj. Apa yang menjadi perhatian kita, adalah permainan politik orang Islam.

Dari sudut politik, kita boleh untuk berbeza pandangan dan pendapat, tetapi jangan berpecah. Itu fitrah yang mesti di raikan. Sama ada menyokong pemerintah atau sebaliknya. Politik Malaysia mecerminkan politik sempit yang membawa kepada ketaksuban parti politik. Jika dia penyokong sang penguasa, maka segala tindakan penguasa yang halal dan haram itu adalah betul. Jika dia penyokong sang pembangkang, maka segala tindakan pembangkang yang halal dan haram itu adalah betul. Inilah antara bahana apabila politik menjadi perjuangan yang lebih tinggi daripada agama. Sedangkan agama itu bukan alat politik, tetapi agama adalah matlamat politik. Ini adalah kesesatan yang cukup nyata. Kita perlu bijak dalam membezakan mana kelompok yang betul-betul memperjuangkan Islam yang benar. Ada satu kelompok yang hanya suka bermain retorik.

Kita cuba memerhati dari jauh bagaimana Parti-parti politik Islam di Palestin mengambil satu keputusan yang sangat kritikal dalam keputusan politik mereka. Secara umumnya, perjuangan Islam di Palestin hanya di bawa oleh Hamas manakala Fatah pula bersekongkol dengan Amerika demi kerasukan kuasa. Meskipun Hamas menjadi kerajaan baru bagi mengantikan Fatah, Hamas terus di serang oleh Fatah dan Amerika. Kerana mahukan kuasa, Fatah sanggup membunuh pejuang-pejuang Hamas. Ramai darah-darah syuhada Fatah terus mengalir dan membasahi bumi Palestin. Kerana memikirkan keadaan ummat Islam yang berpecah, Hamas tetap menerima Fatah untuk terus bersatu walaupun Fatah di katakan tidak memperjuangkan Islam secara serius. Jika Hamas terus untuk bermusuh dengan Fatah, suara ummat Islam menjadi kecil, kekuatan ummat Islam semakin lemah. Keadaan kritikal inilah, Hamas terus mengajak Fatah untuk bersama-sama dalam memperjuangkan nasib Palestin.

Peranan kita

Dalam konteks Malaysia, ummat Islam perlu untuk terus bertolak ansur untuk mencari kata sepakat dalam kepentingan agama. Sejarah pernah menceritakan bagaimana hukuman syariah pernah tertegak di Bumi Hang Jebat. Walaupun hukuman Islam tidaklah dijalankan secara total nanum Hukum Kanun Melaka tetap mempunyai penerapan syariah. Kerana ketika itu, pemimpin-pemimpin yang mempunyai kekuatan ritual agama yang hebat, menyebab Islam di angkat di Bumi Jebat. Ketika era penjajahan Tanah Melayu, hukuman syariah hilang. Hanya lembaran-lembaran manuskrip sejarah yang menjadi saksi Islam pernah bertakta di Tanah Melayu. Namum sehingga hari ini sistem Islam masih lagi tidak ada golongan yang serius mahu untuk menegakkannya. Setelah Tanah Melayu di istiharkan merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, kemudian begabung dengan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 untuk membentuk negara Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya. Masih lagi tidak mampu untuk melaksanakan sistem Islam secara menyeluruh.

Ummat islam mesti bertekad untuk menengakkan Daulah Islamiyah (Islamic state) yang hebat. Malaysia merupakan negara Islam, tetapi tidak memenuhi kerangka ciri-ciri negara Islam yang sebenar. Kita merdeka lebih daripada setengah abad, Islam mula bertapak di bumi nusantara ini lebih tua usianya dari tarikh kemerdekaan. Sepatutnya tidak menjadi masalah sistem Islam untuk terus tertegak di Bumi Malaysia ini sepanjang lebih setengah abad merdeka. Hukuman Islam yang dijalankan di Malaysia ini hanya tertumpu dalam urusan kekeluargaan dan ekonomi. Islam bukan hanya tertumpu dalam dua pekara itu sahaja, tetapi sistem Islam itu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk politik dan jenayah. Kita mengimpikan satu negara yang boleh melaksanakan hukuman hudud, kerana kita mahu ummat Islam berdisplin dalam kehidupan mereka. Mereka tidak boleh mencuri dan merompak, menuduh orang berzina, seks bebas dan sebagainya. Akan tetapi, kita perlu untuk menutup ruang maksiat-maksiat ini terlebih dahulu, ekonomi ummat Islam mesti di bangungkan. Maka, jangan kita takut kepada hukuman tuhan itu, ia bukan hukuman yang bersifat menyeksa, tetapi ia hukuman yang mendidik. Apa yang perlu ditakutkan kalau kita bukan orang-orang yang bersalah? Islam juga bukan tertumpu kepada retorik hudud, tetapi Islam juga menrangkumi seluruh aspek kehidupan. Pendek kata, semua sistem Islam yang syumul mesti kita tegakkan.

Kita perlu untuk mengislah(reform) politik dan ekonomi kita. Dalam masa yang sama pendidikan digubal sesuai dengan kehendak Islam untuk melahirkan generasi yang berkualiti. Kegagalan untuk melahirkan ummat Islam yang mempunyai wawasan hidup yang betul adalah kegagalan daripada sistem pendidikan negara yang tidak menerapkan konsep 'ubudiyah (slavery). Kita mahu melahirkan ummat Islam yang celik dalam perkembangan semasa, yang boleh berinteraksi dengan apa jua masalah yang berlaku. Kita perlu untuk menghentikan golongan-golongan politikus yang gilakan kuasa, rasuah, pembohong dan penzalim. Kita mesti mengangkat golongan yang ikhlas mahu berjuang untuk agama dan rakyat. Mereka yang tidak perlukan kerusi yang empuk, rumah yang mewah, isteri yang cantik, itu lah sepatutnya kita yang di angkat. Mari kita lahirkan arena politik yang baru. Politik yang bukan mencaci dan mengaibkan orang. Saat ini lah yang di tunggu, melahirkan negara Islam yang adil dalam menjaga setiap kebajikan rakyatnya, menutup segala ruang kemungkaran yang boleh merosakkan ummat Islam. Kita tidak mahu lagi melihat jika ada sang penguasa terus rakus bermewah-mewah dalam kehidupan mereka, taktala masih ada rakyat yang tidak mampu untuk mencari sesuap nasi. Allah mengingatkan kita tentang amanah di dalam Surah An-Nisa ayat ke 58,

 إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِ‌ۚ
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. 

Empat khalifah Islam yang agung sudah cukup menjadi contoh tauladan betapa zuhudnya mereka ketika memimpin ummat, tidak pula mengaut kekayaan untuk kepentingan keluarga mereka. Hari ini kita perlu mengakui ramai pemimpin Islam sama dari kerajaan mahupun pembangkang gagal untuk menghayati agama dengan baik, begitu juga dengan masyarakat kita. Kita melihat hanya segelintir sahaja yang boleh untuk di jadikan contoh. Namun ini bukan masalah yang tiada penyelesaian, kita masih boleh berubah dengan azam, tekad dan tawakkal. Perjuangan kita tidak kepentingan, melainkan untuk mencari redha Allah. Kita mahu membina satu generasi yang hebat seperti generasi yang terdahulu. Renungkan firmah Allah ayat ke 15 Surah Saba',

 بَلۡدَةٌ۬ طَيِّبَةٌ۬ وَرَبٌّ غَفُورٌ۬ 
 (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun. 

Pembinaan masa depan

Dalam perancangan untuk membina satu generasi yang baru, kita perlu berhati-hati dengan fahaman yang sudah merosakkan kita seperti sekularisma, liberalisma, kapitalisma dan komunisma. Liberalisma sudah semakin mendapat sambutan orang ramai, maka lahirlah 'perosak' Islam seperti Irshad Manji. Beliau mentafsirkan Al-Quran mengikut kerangka yang menjadi perhatian manusia. Gay dan lesbian dikatakan ciptaan Allah sepertiama Allah menciptakan lelaki dan perempuan. Sedangkan kenyataan itu sama sekali bercanggah dengan Al-Quran. Allah hanya menciptakan lelaki dan perempuan. Jelas Allah di dalam Al-Quran ayat ke 13 surah Al-Hujraat,

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan

Ayuh kita tinggalkan igauan dunia dan foya-foya. Masih ada lagi ruang untuk kita menjadi golongan yang berjuang untuk agama. Jangan hairan jika ada manusia yang tidak mahu berubah, apa yang penting kita sudah berubah. Yang pasti Allah akan meredhai kita.

 وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ
dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah

Jangan kita marah orang yang tidak sealiran dengan kita, boleh jadi dia betul dan kita salah. Lebih jijik apabila kita menghukum mereka yang tidak sealiran dengan kata-kata nista. Ilmu itu mesti menjadi paksi dalam kita menjustifikasi baik dan buruk. Kita menghormati pendirian orang, selagi tidak bercanggah dengan syarak. Tidak kira apa ideologi dan semangat partisan, kita wajar sepakat dalam urusan kepentingan. Hentikanlah daripada bermain dengan politik jahiliyah yang menjadikan aib sebagai modal politik untuk mencari keuntungan. Berpolitik lah dengan fakta yang benar. Jika politik jahiliyah masih subur, dan terus di semai dengan oleh media arus perdana, ummat kita akan terus berpecah belah.  Jangan bermain dengan realpolitik seperti Niccolo Machiavelli. 

0 ulasan:

Catat Ulasan